Thursday 3 May 2018

HONG KONG 2018 Travelogue (Day 0) : Penang International Airport - klia2

*Untuk entry Travelogue yang terdahulu, sila klik pada link di bawah ;

*Entry dalam siri Travelogue ini akan disertakan banyak gambar mengikut garis masa pada hari yang dinyatakan. Kadang-kadang, gambar lebih mudah menceritakan sesuatu berbanding kata-kata.

------------------------------------------------

Assalamualaikum W.B.T. dan Salam Sejahtera.

Setelah 'berpuasa' setahun daripada bercuti ke luar negara, alhamdulillah, baru-baru ini pada 25 sehingga 29 April 2018 yang lepas, saya bersama isteri dan anak kecil berumur 8 bulan setengah telah selamat pergi dan balik dari bercuti ke Hong Kong.


Ini merupakan kali pertama saya dan isteri bercuti ke luar negara bersama anak sulung kami, jadi banyak juga pengalaman baru yang diperolehi sepanjang merancang perjalanan ketika berada di Malaysia dan ketika berada di lokasi percutian kami, iaitu di Hong Kong.

InsyaAllah, saya akan cuba kongsikan seberapa banyak tips terutamanya berkaitan lokasi, dan pengalaman bercuti bersama anak kecil.



Persiapan
Seperti biasa, saya memilih penerbangan AirAsia untuk bercuti ke Hong Kong ini. Isteri tersayang teringin nak ke Hong Kong katanya, dan saya pun ada perasan, macam banyak pula iklan mengenai percutian ke Hong Kong di media sosial, dan juga posting dari rakan-rakan yang telah ke sana dan sebagainya. Mungkin tahun ini trend bercuti ke Hong Kong pula?


Tiket kapal terbang telah dibeli menggunakan aplikasi AirAsia di telefon, lebih kurang 2 bulan sebelum tarikh berlepas. 

Seperti yang saya kongsikan dalam siri travelogue sebelum ini, selepas membeli tiket kapal terbang, dan sebelum merancang itinerary, perkara pertama yang wajib dilakukan adalah memilih hotel tempat kita akan bermalam di sana nanti.


1. Hotel / Tempat penginapan
Tentu anda biasa dengar aplikasi mencari hotel secara online seperti Trivago bukan? Tapi saya lebih kerap menggunakan terus aplikasi Expedia atau Booking.com untuk mencari hotel atau tempat penginapan sama ada di dalam atau di luar negara. Melalui aplikasi Expedia di telefon, saya telah memilih Eco Tree Hotel yang terletak di kawasan Central, Hong Kong. 


Tips memilih hotel yang sesuai di Hong Kong : 
1. Pastikan anda melihat Rating dan membaca Review yang telah diberikan oleh pelanggan-pelanggan sebelumnya.
2. Pastikan hotel berkenaan dekat dengan kemudahan awam seperti stesen tren/subway.
3. Pastikan hotel berkenaan dekat dengan tempat tarikan pelancong, sekurang-kurangnya anda dapat berjalan di sekitar hotel sekiranya masa suntuk, terutamanya ketika hari akhir di sana.
4. Pastikan hotel berkenaan mempunyai perkhidmatan asas seperti lift, dan WiFi secara percuma. 
5. Sila lihat waktu 'check-in' dan 'check-out' hotel untuk memudahkan anda merancang itinerary, sebab tak semua hotel ada perkhidmatan untuk anda tinggalkan bagasi di lobi.


2. Internet 
Internet sememangnya sudah menjadi seperti perkara asas yang sangat penting pada masa ini. Terutamanya jika kita hendak pergi ke tempat yang kita tidak biasa, seperti di luar negara. Jika sebelum ini semasa di Jepun saya menggunakan perkhidmatan modem yang telah ditempah lebih awal, kali ini pula saya telah membeli kad SIM dari laman web Hello1010.my .


Untuk penggunaan 10 hari, data sebanyak 5GB tanpa had (selepas penggunaan 5GB, kelajuan akan diperlahankan), percuma 100 minit panggilan tempatan (Hong Kong). Harga? Cuma RM 39.00! Kalau beli pek kembar (dapat 2 kad SIM, harganya cuma RM 72.00. Berbaloi bukan? Kad SIM akan dipos ke rumah menggunakan DHL/GDex/Poslaju dengan tambahan RM 6.00. Saya membeli kad SIM ini betul-betul seminggu sebelum berlepas, jadi kalau rasa dah terlambat nak tempah modem, boleh lah beli kad SIM ini. 

Kandungan pek kembar yang saya beli. 
Kad SIM ini datang dalam pelbagai saiz, iaitu Nano, Mikro, dan Mini/Standard SIM, jadi tak perlu risau apa jenis telefon yang anda gunakan.


3. Itinerary / Pelan perjalanan
Tiket kapal terbang dah beli, hotel dah tempah, internet dah siap sedia, jadi apa yang tinggal? Mestilah perkara yang paling penting sekali, iaitu membuat itinerary atau pelan perjalanan anda.

Sumber informasi mengenai Hong Kong yang saya perolehi boleh dikatakan 99% adalah dari internet. Pakcik Google sentiasa ada untuk memberikan informasi sekiranya anda pandai menggunakannya.

Anda juga boleh cuba mencari maklumat di laman-laman web utama seperti di ;

Selepas menyenaraikan tempat-tempat menarik yang ingin anda pergi, tibalah masa untuk menyusun perjalanan anda.

Sekiranya anda ingin menggunakan perkhidmatan awam seperti tren/subway MTR di Hong Kong, anda perlu membuat sedikit kajian terutamanya dengan melihat peta perkhidmatan MTR seperti di bawah ;


Terdapat sekurang-kurangnya 12 lines atau jalur perkhidmatan MTR yang menghubungkan seluruh Hong Kong. 

Tak salah kalau saya katakan yang anda boleh pergi ke mana sahaja tempat tarikan di Hong Kong ini dengan hanya menaiki tren MTR.

Hampir setiap laman web tempat-tempat menarik atau tumpuan pelancong biasanya akan turut menyertakan maklumat mengenai stesen MTR yang terdekat untuk ke tempat menarik tersebut. Jadi anda hanya perlu susun mengikut kesesuaian anda.



Tips : Sebagai tambahan, anda juga boleh menggunakan aplikasi telefon Citymapper untuk membantu menyediakan itinerary. Aplikasi ini sangat mudah digunakan, cuma perlu pilih bandar yang ingin anda pergi, dan kemudian masukkan tempat spesifik yang ingin anda pergi, pilih jenis perkhidmatan awam atau jenis perjalanan yang dikehendaki.

Anda boleh merancang perjalanan menggunakan aplikasi ini.


Contoh paparan ketika aplikasi sedang digunakan.

Sekiranya anda mempunyai internet dan GPS ketika menggunakan aplikasi ini, ia akan mengesan secara langsung lokasi anda. Sebagai contoh, dalam gambar di atas, saya sedang berada dalam tren MTR ketika tren melalui Stesen Olympic, menuju ke Stesen Sunny Bay dari Stesen Hong Kong. Anggaran waktu perjalanan keseluruhan (39 minit) dan jangkaan waktu kita tiba di lokasi turut diberikan 11.51am).

Antara maklumat lengkap yang diberikan, antaranya anggaran waktu perjalanan, bahagian badan tren yang terbaik untuk dinaiki, dan juga pintu keluar dari stesen yang terdekat dengan lokasi yang kita pilih. Mudah kan? Apa lagi anda mahu? Lol


4. Octopus Card


Sekiranya anda bercadang untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam semasa di Hong Kong, adalah amat digalakkan untuk anda menggunakan perkhidmatan Octopus Card. Ianya berfungsi seperti kad Touch 'n Go yang terdapat di Malaysia, yang mana fungsinya tidak hanya boleh digunakan untuk menaiki perkhidmatan pengangkutan awam, tetapi juga boleh digunakan untuk membuat pembayaran di kedai-kedai seperti 7-Eleven dan vending machine

Anda boleh dapatkan Octopus Card ini di mana-mana stesen MTR di Hong Kong nanti atau pun boleh beli siap-siap menggunakan aplikasi KLOOK dan ambil kad tersebut di lapangan terbang Hong Kong nanti, seperti yang saya lakukan.


5. Aplikasi KLOOK

KLOOK merupakan sebuah aplikasi telefon yang mana menawarkan pelbagai jenis perkhidmatan pelancongan, contohnya tiket masuk ke taman tema, tiket bas pelancong, voucher makanan dan lain-lain dengan harga yang berpatutan dan lebih murah dari yang dibeli on the spot di tempat yang ingin kita pergi. 

Anda cuma perlu pilih lokasi bandar pilihan yang ingin anda pergi, dan pilih jenis tawaran yang disediakan.

Untuk perjalanan kami ke Hong Kong kali ini, saya telah membeli tiket Disneyland Hong Kong, voucher makanan di Disneyland, Peak Tram Fast-Track Combo, dan Octopus Card menggunakan aplikasi Klook.



Antara pakej kombo yang disediakan.

Selepas membeli apa-apa perkhidmatan menggunakan aplikasi Klook ini, anda akan mendapat diskaun untuk pembelian pakej-pakej pelancongan yang lain.


6. Kelengkapan tambahan untuk dibawa
Lain orang, lain keperluan atau kelengkapan yang perlu dibawa. Untuk kami yang pertama kali membawa anak kecil ke luar negara, memang pelbagai persiapan telah dibuat. Berikut adalah senarai kelengkapan tambahan yang kami sediakan untuk perjalanan kami ;
a) Comforter kecil sebagai lapik untuk anak kecil kami tidur ketika dalam penerbangan.
b) Stroller bayi yang ringan, serta boleh lipat dan simpan ke dalam ruangan kabin di dalam kapal terbang.
c) Poncho atau baju hujan dan juga stroller rain cover (untuk kegunaan di tempat seperti di Disneyland).
d) Ubat-ubatan asas seperti ubat demam, selsema, minyak angin.
e) Selfie stick dan tripod untuk telefon.
f) Powerbank yang mencukupi.
e) Lampin pakai buang yang mencukupi (harga lampin pakai buang di Hong Kong agak mahal)
f) Seluar dalam pakai buang - jika ingin jimatkan ruang dalam bagasi ketika pulang ke Malaysia nanti.
g) Universal travel adapter - tapi Hong Kong menggunakan plug 3 pin, sama seperti di Malaysia. Jadi tak perlu risau jika tak bawa travel adapter ini.
h) Beg tambahan yang boleh lipat dan simpan dalam bagasi utama. Bila dah pergi bercuti, biasanya beg kita akan 'beranak-pinak' semasa nak balik nanti betul tak? 


7. Cetak dan simpan semua maklumat penting!
Selepas siap semua perkara dari nombor 1 sampai 6 seperti di atas, yang paling penting adalah pastikan passport dah dibuat atau dah diperbaharui atau belum tamat tempoh. Seterusnya, print atau cetak semua maklumat penting yang diperlukan, antaranya tiket penerbangan, tempahan hotel, kupon atau voucher yang telah dibeli lebih awal, insurans penerbangan, dan itinerary itu sendiri. Manalah tahu, tiba-tiba internet tak dapat digunakan nanti, tak ada pula tempat untuk dirujuk jikalau tiada hard copy itinerary bersama anda.

Gunakan aplikasi Google Drive atau apa-apa perkhidmatan cloud, untuk upload dan simpan semua maklumat penting anda seperti file itinerary, tiket penerbangan, itinerary penerbangan, insurans penerbangan, tempahan hotel, kupon atau voucher, salinan passport dan kad pengenalan, sijil nikah, dan lain-lain yang dirasakan penting sekiranya berlaku apa-apa di luar negara nanti.

Kalau anda betul-betul tak ada masa atau malas nak fikir susah-susah untuk rancang perjalanan ke Hong Kong ini, jangan risau, insyaAllah di penghujung siri Hong Kong 2018 Travelogue ini, saya akan kongsikan file itinerary yang saya buat dan gunakan di Hong Kong baru-baru ini.

--------------------------------------------------------

Hari Kosong (24 April 2018) : Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang - klia2

Kami sekeluarga bergegas menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dari Taiping, pada malam 24 April 2018, kerana saya dan isteri masih pergi ke kerja pada hari berkenaan. 

Alhamdulillah, perjalanan di highway lancar, dan kami tiba di airport pada kira-kira jam 8.40pm dan terus check in bagasi kami dan menuju ke imigresen untuk pergi ke gate berlepas.

Saya bersama isteri dan anak kecil kami, Mika Aafiyah bergambar di gate sementara menunggu waktu berlepas menuju ke klia2.

Terlupa nak beli mangga kunci siap-siap sebelum bertolak, makanya untuk keselamatan, saya pun beli mangga kunci ini di salah satu kedai yang terdapat di kawasan menunggu.

Dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang menuju ke klia2, kami menaiki penerbangan AirAsia, AK 6133, waktu dijangka berlepas adalah pada jam 11.05pm. 

Kami mula menaiki kapal terbang pada kira-kira 10.50pm dan berlepas pada kira-kira 11.10pm.

Maklumat penerbangan, kapal terbang jenis Airbus A320-200neo.

Alhamdulillah, Mika tak banyak meragam walaupun kali pertama menaiki kapal terbang.

Kami selamat mendarat di klia2 pada kira-kira jam 12.00am (25 April 2018).

Beg Akhir, ya memang kami orang terakhir yang ambil beg, sebab tersilap jalan nak menuju ke tempat mengambil bagasi tadi. 

Sedang berjalan menuju ke tempat berlepas, terjumpa kedai FamilyMart yang menjadi favourite setiap kali ke Jepun.

Isteri rindu nak rasa Milk Tea dari Jepun. Kalau brand minuman Jepun yang masuk dalam Malaysia ni, saya selalu beli Milk Tea brand Pokka. 

Penerbangan kami dari klia2 ke Hong Kong adalah pada jam 7.00am, jadi bila dah sampai awal di klia2 ni, buntu juga nak menapak dan cari tempat lepak. Sebab nak check in bagasi dan pergi ke gate berlepas pun belum boleh lagi. 

Kalau anda tak kisah berbelanja besar untuk lepak tempat yang selesa selama beberapa jam sementara tunggu penerbangan seterusnya, maka anda boleh pergi ke Plaza Premium Lounge dan AirAsia Premium Lounge yang terdapat di klia2 ini.

Kami sempat lepak dan makan sebentar di food court.

1.51am - Akhirnya kami dah boleh check in bagasi dan pergi ke gate berlepas.

Sekiranya anda membeli tiket kapal terbang secara online dan ada membuat bayaran tambahan untuk check in bagasi, maka anda perlu print sendiri tag bagasi ini di salah satu mesin layan diri yang ada berdekatan kaunter sebelum membawanya ke kaunter check in.

3.46am - Yeay, dah semakin hampir nak berlepas.

Sebelum naik kapal terbang, lebih baik tukar siap-siap lampin pakai buang Mika.

Kami menaiki penerbangan AirAsia, AK 138, dari klia2 menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong, waktu berlepas dijangka pada jam 7.00am.

Kami menaiki kapal terbang pada kira-kira jam 6.50am dan berlepas tidak lama selepas itu. Mika Aafiyah tidur sebaik menaiki kapal terbang, mungkin sudah terlalu penat. Kami membawa comforter kecil sebagai lapik atau tilam untuk keselesaan Mika.

Maklumat kapal terbang yang kami naiki dari klia2 ke Hong Kong.







1 comment :

Seven Tours Dubai said...

Nice Article and Amazing Photography, want to explore Dubai Visit Dubai Desert Safari for amazing deals in Desert safari and sightseeing packages

 

Be My Followers

About Me

My photo
Blue is the colour, Areev is the name.

eFootball 2023 Player

eFootball 2023 Player
PS4/PS5 & Mobile