Monday 3 February 2014

[Review J-Dorama] Summer Nude (2013)

Assalamualaikum W.B.T. dan Salam Sejahtera.

Dah hampir 3 tahun aku tak tulis sebarang review filem atau dorama yang aku tonton , kali terakhir sekali adalah review K-Drama - Dream High yang aku tulis pada 2011.

Memandangkan keadaan aku sekarang yang terlalu 'free' dan perlu di'busy'kan, maka blog post ini pun ditulis. J-Dorama bertajuk Summer Nude ini baru aku selesai tonton beberapa hari yang lalu, jadi sebelum ingatan tentang dorama ini luput, lebih baik aku tulis blog post ini secepat mungkin.


[Review J-Dorama] 

Summer Nude (2013)


3 watak / pelakon utama dorama ini, Toda Erika, Yamashita Tomohisa, dan Karina.

Sinopsis :

Natsuki (Karina) adalah seorang pengurus restoran masakan Itali terkenal di Tokyo. Natsuki bagaimanapun berhenti kerja kerana ingin menjadi suri rumah sepenuh masa selepas berkahwin. Pada hari perkahwinan Natsuki di sebuah pekan yang tidak jauh dari bandar Tokyo, pengantin lelaki telah melarikan diri ketika majlis sedang berlangsung dan detik-detik itu telah dirakamkan oleh photographer perkahwinan Natsuki, iaitu Asahi (Yamashita Tomohisa).

Natsuki pada hari perkahwinannya.


Asahi sebagai photographer perkahwinan Natsuki.

Ketika Natsuki sedang tertekan selepas ditinggalkan pengantin lelaki pada hari perkahwinan dan tiada pekerjaan selepas berhenti kerja, tiba-tiba Asahi telah menghubungi Natsuki untuk meminta pertolongan supaya bekerja di sebuah 'restoran' di pekan tepi laut yang tidak jauh dari Tokyo. Kerana masih belum ada pekerjaan, akhirnya Natsuki menerima pelawaan untuk membantu Asahi.

Natsuki masih belum dapat melupakan bekas kekasihnya yang melarikan diri pada hari perkahwinan.

Aoyama adalah sebuah gerai makan tepi pantai yang hanya dibuka setiap kali musim panas oleh Setsuko (Itaya Yuka) dan suaminya, Kenji (Takahashi Katsunori). Ia menjadi satu tradisi dan tempat penuh kenangan buat Asahi, dan beberapa rakan baiknya di pekan tepi pantai itu. Asahi telah 10 tahun dicintai oleh Hanae (Toda Erika) secara terbuka, namun Asahi hanya menganggap Hanae sebagai rakan karib. Manakala Asahi pula sebenarnya masih tidak dapat melupakan bekas kekasihnya, Kasumi (Nagasawa Nagasawa) yang meninggalkannya secara tiba-tiba 3 tahun lalu. Namun walaupun sudah 3 tahun berlalu, Asahi masih setia menunggu dan ingin menunaikan 'janji' yang dibuat bersama Kasumi dulu.

Flashback Asahi ketika bersama Kasumi.


Asahi akan berhenti dan memberi 'salam' kepada Kasumi setiap kali melalui kawasan billboard yang mempunyai gambar Kasumi ini, kerana Kasumi pernah berkata sambil bergurau, yang Asahi mesti 'menegur' Kasumi setiap kali melihat billboard ini.


Hikaru (Kubota Masataka) dalam diam memendam rasa cinta kepada Hanae, dan sentiasa bersama Hanae ketika saat Hanae bersedih dan berduka, namun Hanae tidak sedar dan hanya menganggap Hikaru sebagai rakan karib. Takashi (Katsuji Ryo) pula seorang rakan yang baik dan mengambil berat tentang rakan-rakannya. Takashi juga adalah seorang yang sentiasa cuba menceriakan keadaan. Aoi (Yamamoto Mizuki) seorang gadis yang bercita-cita untuk menjadi model peragaan di Tokyo. Aoi mencintai Hikaru dan berusaha untuk memenangi hati Hikaru walaupun menyedari yang Hikaru hanya mencintai Hanae.

Carta watak-watak di dalam dorama Summer Nude.

Kedatangan Natsuki ke pekan tersebut dan menjadi 'chef' gerai Aoyama pada musim panas tahun itu membawakan perubahan yang tidak disangka kepada Asahi dan rakan-rakannya. Apakah yang akan berlaku? Adakah Asahi akhirnya dapat melupakan Kasumi yang telah 3 tahun meninggalkannya dan menerima Hanae? Adakah Natsuki akan kembali menemui kebahagiaannya yang hilang?


Komen :

Dorama Jepun memang jarang menghampakan aku. Walaupun dorama ini tiada Ueto Aya (kipas-susah-mati), namun pelakon-pelakon hebat dalam dorama ini tidak menghampakan dan jalan ceritanya pula tidak membosankan. Dan mungkin kerana aku menonton dorama ini pada waktu yang 'kena' dengan hidup aku, jadi ianya menjadi lebih menarik untuk ditonton.

Dorama ini mengetengahkan tema percintaan dan persahabatan, yang boleh dilihat pada watak-watak Asahi, Natsuki, Hanae, dan lain-lain. Nilai-nilai murni dalam hubungan kekeluargaan turut disentuh dalam dorama ini. Mungkin tipikal bagi sebuah dorama Jepun, nilai-nilai murni kekeluargaan, persahabatan, dan kehidupan sentiasa diselitkan dalam setiap episod, ini yang menjadikan ia unik dan ada 'isi', berbeza dengan drama-drama Korea yang kebanyakannya bertemakan kisah konflik percintaan yang tak habis-habis. Manakala drama Melayu pula, sentiasa tipikal dengan kisah percintaan selepas kahwin, dunia korporat, bergaduh berebut harta, dan lain-lain yang anda sendiri boleh huraikan.

Lagu tema dorama Summer Nude ini dinyanyikan oleh pelakon utama, Asahi (Yamashita Tomohisa), bertajuk Summer Nude '13.


Kesimpulan :

J-Dorama wajib tonton. Terutamanya buat mereka yang ingin dan perlu 'move on'.


RATING :

Tahap Mengantuk : 1/5
Tahap Keterujaan : 4/5
Tahap Jalan Cerita : 4/5
Tahap Nak Tgk Lagi : 4/5
Tahap Nak Marathon : 4/5
Tahap Logik : 4.5/5
Tahap Kawaii : 4.5/5 (Toda Erika, Karina, Yamamoto Mizuki)
Tahap Lawak : 3.5/5
Tahap G-Wunk : 4.5/5 
Tahap Sedih : 3.5/5
Tahap Pengajaran/Nilai Murni : 4.5/5
Tahap Lagu Tema/OST : 5/5

Keseluruhan : 8.5/10


Info :
Streaming :

No comments :

 

Be My Followers

About Me

My photo
Blue is the colour, Areev is the name.

eFootball 2023 Player

eFootball 2023 Player
PS4/PS5 & Mobile